Adakah Jumlah ‘A’ Menjadi Ukuran Kejayaan Anak-anak?

Seperti selalu, kalau baca artikel dari Prof Muhd Kamil Ibrahim (MKI), mesti menusuknya tu sampai di sini. Saya mula mengenali nama Prof Muhd Kamil melalui buku beliau Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman. Memang kena prepare tisu kalau baca buku Travelog Haji ni.

Dan hari ni, saya nak share coretan beliau di dalam Majalah ANIS Edisi Mac 2015.

Coretan ini sangat bermanfaat untuk semua ibu bapa di luar sana yang sangat mementingkan perfect A di dalam peperiksaan.

Maklum lah. Kita kadang kala meletak harapan yang terlalu tinggi untuk anak-anak mencapai kejayaan di dalam peperiksaan sehingga kadang kala memberi tekanan kepada anak-anak.

Harapan itu kadang kala membuatkan kita sendiri tertekan dan kecewa seandainya anak-anak tidak mencapai kejayaan di dalam peperiksaan seperti yang diharapkan. Sehingga kita lupa, ada perkara lain yang lebih penting berbanding perfect A di dalam peperiksaan.

Prof MKI berkongsi tentang cerita anaknya yang ketiga, Amirul ketika peperiksaan UPSR beberapa tahun lalu.

Tentu sekali saya lebih mengenangi kisah anak ketiga – Ahmad Amirul Imran – ketika mengambil peperiksaan UPSR juga beberapa tahun yang lampau. Beliau sangat sederhana di dalam pengajian. Sepanjang tempoh 3 hari peperiksaan, beliau dan kawan-kawannya dikumpulkan di surau sekolah. Mereka bermalam di sana. Sejurus tamat peperiksaan, beliau meminta saya menjemputnya di sekolah.

“Amirul boleh jawab?”

“Mudah”

Saya memandang isteri dan Roza memandang saya sambil tersenyum. Begitulah anak-anak kami yang sentiasa berkeyakinan apabila ditanya dengan prestasi peperiksaan. Namun, hasil akhirnya belum tentu lagi. Saya selalu katakan mereka terlebih motivasi.

“Senang? Kawan-kawan ayah semua kata susah. Bagaimana Amirul boleh senang?”

“Sebab Amirul bangun Solat Hajat. Amirul bangun pukul 2 pagi. Selepas itu Amirul tidur balik.”

Saya dan Roza terkedu. Saya tidak menyangka inilah jawapan beliau. Benar, kami mengajar anak-anak supaya selalu memohon kepada Nya di dalam apa sahaja yang ingin kita lakukan. Kami ajar untuk bangun malam tetapi tidaklah secara bersungguh.

“Cikgu kejutkan Amirul?”

“Tidak. Amirul bangun sendiri.”

“Okey. Amirul hendak makan di mana? Ayah suka sangat..ayah belanja Amirul.”

“Amirul puasa..”

Saya lebih sebak. Namun kisah ini tidak berakhir di sini. Amirul kelihatan pucat lesi mukanya apabila mahu menunjukkan keputusan beberapa bulan kemudian.

4B dan 1C. Saya peluk Amirul dan mengucapkan “Alhamdulillah..ayah fikir Amirul sepatutnya mendapat 4A dan 1B. Hanya perbezaan 2 atau 3 markah. Insya Allah… Amirul buat lebih baik di dalam peperiksaan akan datang.

Hakikatnya saya sungguh sebak. Saya singgah di masjid dan melaksanakan sujud syukur. Saya memahami hanya Dia yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk Amirul dan kami sekeluarga.

Aneh sungguh kehidupan aturan Allah SWT. Amirul melanjutkan pelajaran di Madinah dan kini belajar di Sudan ketika usia yang sangat muda. Beliau menimba pengalaman kehidupan yang sungguh bermakna.

Bagaimana hujungnya nanti, saya sendiri tidak sabar menanti.

Saya percaya setiap orang yang membaca artikel ini pasti belajar sesuatu.

Kepada ibu bapa yang kecewa dengan keputusan peperiksaan anak-anak yang tidak seperti diharapkan, saya suggest anda tonton video ni. Semoga video ini dapat mengubati kekecewaan anda.  :-)

Cara Syukur Nikmat Agar Happy & Tenang Sokmo from iReach HD on Vimeo.

Penghargaan: MAJALAH ANIS, MAC 2015

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge